Sunday, September 26, 2010

..."Dan semestinya awak, wanita2 yg membaca, lebih memahaminya"..."Dan untuk lelaki2 pula..."

perkongsian daripada seorang sahabat...KISAH BENAR...^_^


LuaHan HaTi Seorg leLaki buat Wanita yg Dicintai..

Saya selesai menghabiskan buku “Hari-Hari Dalam Hidupku” yang dipinjam dari seorang senior. Kata-kata pendahuluan yang ditulis Zainab al-Ghazali al-Jubaili dalam buku ini, menggentarkan hati saya untuk terus membaca buku ini sehingga tamat. Saya tak berapa ingat ayatnya, tapi mungkin beginilah lebih kurang maksudnya,
Kuhadiahkan buku ini :

Untuk jiwa-jiwa suci yang telah menghadap Ilahi, untuk mengadu hal kezaliman dan perbuatan manusia.
Entahlah. Saya merasa sedih dengan ayat itu, kerana ia diungkapkan seorang wanita, yang telah melalui satu siri penyeksaan yang cukup dahsyat.

Saya sentiasa terpesona dan kagum dengan wanita-wanita yang kuat. Kuat hati dan jiwanya untuk mendukung apa yang dia percaya. Dan semestinya kecintaan saya tumpah buat wanita-wanita yang mendukung kebenaran Islam walau apa jua yang menimpa mereka.

Saya hendak bercerita tentang wanita. Di saat aliran feminisme begitu asyik memperjuangkan persamaan lelaki dan wanita, wanita-wanita yang saya kagumi ini telah lebih lama membuktikan kekuatan mereka berganding bersama lelaki memikul beban agama. Di saat wanita digambarkan sebagai makhluk penuh emosi dan lemah, wanita-wanita ini membuktikan kepada dunia bagaimana mereka memandu emosi dan kelemahan itu untuk menjadi pasak-pasak dakwah. Dan tidak melampau jika saya katakan, dakwah ini tidak akan tertegak (melalui usaha manusia) tanpa wanita-wanita yang menjadi tulang belakangnya.

Untuk wanita di luar sana, ya saya sedang bercerita tentang awak. Dan jika awak mendapati tulisan ini tidak menerangkan kisah hidup awak, maka saya sedang bercerita untuk awak, supaya awak menjadi kuat seperti mereka.

Zainab al-Ghazali al-Jubaili (saya sarankan anda membaca buku “Hari-Hari Dalam Hidupku” sendiri)
” Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas seorang lelaki”
Beliau dipenjarakan atas rencana pemerintah yang begitu takut akan kebangkitan Islam. Beliau diseksa fizikal dan mental.
Seorang wanita dalam lingkungan usia 60 tahun, dihumban ke dalam bilik yang penuh anjing-anjing yang terlatih untuk menggigit dan mencakar manusia. Dihumban ke dalam bilik yang penuh dengan tikus. Dihumban ke dalam bilik tanpa diberi makan atau minum, dan lebih kejam tanpa dibenarkan untuk ke tandas selama berhari-hari. Cuba anda buat eksperimen, tidak ke tandas selama 2 hari, dan rasalah secebis dari penderitaan Zainab.

Disebat dengan tongkat sebanyak 500 kali. Kemudian disebat lagi keesokan harinya. Disebat lagi hari seterusnya. Dan hari-hari seterusnya. Hingga adakala beliau pengsan ketika disebat. Disebat di tapak kaki hingga pecah-pecah dan luka kakinya. Dengan tapak kaki yang luka itu, dipaksa pula beliau melompat. Kemudian dicampak pula beliau ke dalam bekas yang dipenuhi air. Bayangkan luka-luka seluruh tubuh terkena air.

Hampir-hampir beliau dirogol namun kuasa Allah menyelamatkannya.

Itulah secebis dari penderitaan fizikal yang Zainab hadapi. Namun ia tetap tidak melemahkan semangatnya, tidak membuatkan emosinya tunduk. Beliau ditawarkan untuk dibebaskan sekiranya beliau membuat keterangan palsu terhadap sahabat-sahabat dakwahnya, namun beliau menolak.

Seksaan fizikal dan mental tidak merubah pendiriannya mendukung agama. Kerana dia seorang wanita.

Ukhti 1

Allah mentakdirkan saya mengenali peribadi beliau, menonton pegangannya dari jauh, mengutip mutiara-mutiara pengalamannya sebagai bekalan perjalanan. Beliau yang saya kenali, begitu keras dalam mengutarakan pendapat, berani menyuarakan kelemahan-kelemahan sistem dan program, cergas menyampaikan idea-idea baru, bernas dan adakala radikal.

Kerana sikapnya ini, adakala beliau tidak disenangi oleh rakan-rakan yang lain, mungkin kebanyakannya yang tidak memahami fikrah Islam ini sejelasnya. Beliau sedar akan hal itu, namun beliau tidak pernah berganjak dari pendiriannya. Ya kebenaran itu pahit, walau diluah atau ditelan.

Allah mentakdirkan beberapa siri kemalangan dan dugaan yang menimpa beliau, untuk saya menyaksikan kekuatan jiwa beliau. Walau dengan bertongkat tidak menjadi alasan untuk beliau tidak hadir ke mesyuarat dan program-program agama. Maka apabila seorang wanita, yang bertongkat, memilih untuk ke program agama berbanding berehat di rumah, apa lagi alasan yang kita ada wahai lelaki-lelaki gagah perkasa?

Beliau pernah berada di persimpangan pilihan untuk meneruskan cita-cita dan masa depannya. Akhirnya beliau membuat pilihan yang paling memanfaatkan dakwah walaupun kurang bermanfaat untuk cita-citanya. Betapa tabah hatinya mendukung agama ini, kerana dia seorang wanita.

Ukhti 2

Allah mentakdirkan saya belajar di kawasan yang dipenuhi wanita-wanita hebat. Hebat akhlak dan budinya, tabah jiwa dan emosinya. Mereka mendukung antara satu sama lain menghadapi segala dugaan. Mereka berkongsi bahu dengan tangisan, dan berkongsi air mata dengan doa.

Tidak semua orang senang dengan wanita-wanita ini, atas pelbagai sebab. Saya juga pernah menyaksikan mereka menghadapi zaman-zaman tribulasi akibat salah faham yang hebat, dan menyaksikan air-air mata mereka berjujuran demi dakwah ini.

Mengenali mereka menjadi hujah yang kuat bagi saya, bahawa tidak ada sebarang alasan bagi wanita terkecuali untuk berjuang bersama-sama lelaki dalam menegakkan agama ini. Bahkan mereka membuktikan, dalam sesetengah hal, sebenarnya mereka lebih jauh ke hadapan berbanding lelaki-lelaki yang berjiwa manja. Mereka tidak kisah dibenci manusia, kerana mereka seorang wanita.

Ada begitu banyak lagi kisah yang tersimpan sebenarnya, di dalam kehidupan wanita-wanita yang mendukung dakwah dan risalah ini, namun saya rasakan bukan saya orang yang paling layak mengulasnya. Mereka setia dengan tudung di negara asing, walau ramai mata yang memandang pelik. Mereka setia dengan pakaian menutup aurat meskipun di negara yang penuh dengan fesyen yang menggoda. Mereka terus melabuhkan pakaian walaupun dalam cuaca musim panas yang ada ketika mencecah 37 darjah celcius.

Saya akui hingga kini, saya tidak pernah boleh memahami mereka. Saya tidak bisa memahami bagaimana jiwa mereka boleh menjadi sebegitu kental menghadapi dunia yang kian menghentam pendirian mereka.

Dan semestinya awak, wanita-wanita yang membaca, lebih memahaminya. Saya doakan awak terus tabah dan kental mencatit lembaran sejarah dakwah dengan air mata dan darah.

Dan untuk awak, yang seperti saya tidak memahami wanita-wanita ini, marilah bersama-sama mereka menyusuri jalan dakwah ini. Di sana awak akan bertemu lautan wanita-wanita berjiwa besi, dalam kelembutan dan kesopanan kata-katanya tersimpan ketegasan yang mampu menggegarkan dunia.

Dan untuk lelaki-lelaki pula, mari kita muhasabah dan ukur nilai diri, di samping wanita-wanita ini.


WASSALAM...^_~


No comments:

Post a Comment